RAMALLAH, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Jumlah jangkitan varian baharu Omicron di wilayah Palestin melonjak kepada 35 kes setakat semalam, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Jurucakap kementerian, Kamal Al-Shakhra dalam satu kenyataan berkata, satu kes baharu dikesan di wilayah Semenanjung Gaza yang dikepung.
Katanya, majoriti kes yang diuji positif varian Omicron dikesan datang daripada luar wilayah Palestin.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin melaporkan tiga kes pertama varian dari Afrika Selatan itu pada 23 Disember lalu.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian Omicron lebih cepat merebak berbanding varian dari India, Delta.
Varian Omicron pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan pada akhir November, setakat ini telah merebak ke lebih 70 negara, satu fenomena yang disifatkan WHO sebagai ‘membimbangkan’.
Bukti awal mendakwa bahawa vaksin COVID-19 mungkin kurang berkesan terhadap jangkitan dan penularan yang dikaitkan dengan varian itu.- Agensi