SUNGAI PETANI – UMNO tidak boleh lagi menjadi sebuah ‘parti tempelan’, sebaliknya perlu menjadi parti dominan yang memiliki kuasa menerusi kemenangan majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, apabila UMNO berkuasa, barulah suara parti itu dapat didengari dan bertindak, selain dapat mengelak pertelingkahan.
Menurutnya, sehubungan itu, ahli UMNO perlu mengambil pengajaran terhadap kejatuhan Parti Golkar di Indonesia yang kini menjadi parti tempelan selepas tewas dalam pilihan raya pada tahun 1998.
“Apabila kita ada kuasa, kita boleh bercakap kepada orang, kalau tidak kita hanya sembang sahaja, akhirnya kita bergaduh sesama kita.
“UMNO mesti jadi parti dominan dan boleh menang dalam pilihan raya, tiada guna kalau kita tidak menang, kita tidak menjadi kerajaan, kita hanya jadi parti tempel-tempelan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Bengkel Pengukuhan Kepimpinan dan Jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Kedah, di sini pada Jumaat.
Jelas Mahdzir, Golkar tersungkur lebih awal daripada UMNO, dan telah bertanding lima kali dalam pilihan raya Indonesia sejak itu.
“Pemimpin Golkar pernah jadi Presiden Indonesia, iaitu Bung Karno, Suharto dan Habibi.
“Selepas itu presiden yang diangkat bukan lagi dari Golkar termasuk Jokowi yang merupakan Presiden Indonesia sekarang dari Parti PDI-Perjuangan,” katanya.