KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berucap pada sidang media khas ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pekerja Asing kali ke-2 di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan menempelak kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berhubung isu pengambilan pekerja asing.

Ini selepas Maria berkata menteri berkenaan memberikan keutamaan untuk menyelesaikan isu pengambilan pembantu rumah berbanding kekurangan buruh dalam lima sub sektor teratas industri negara.

“Saya minta dia hentikan mentaliti pembangkang. Berapa lama lagi kamu nak gunakan strategi ini untuk mendapatkan publisiti murahan.

“Jika dia tidak tahu fakta, dia boleh hubungi saya untuk mendapatkan penjelasan. Saya sedia memberi penjelasan. Jika tidak, dia perlu menutup mulut,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Maria dilapor berkata negara sepatutnya berada di laluan lebih strategik untuk memulihkan semula industri yang belum stabil.

Menurutnya, Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia meminta penambahan lebih 600,000 pekerja asing menjelang 2022 untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja kritikal yang dihadapi pada masa ini.

“Ia juga didapati industri elektrik dan elektronik (E&E), makanan dan minuman, kimia dan produk kimia, logam fabrikasi dan produk getah antara lima sub sektor pembuatan teratas yang paling terjejas akibat kekurangan ini,” kata Maria.

Terdahulu, Saravanan dilapor berkata mesyuarat kabinet memutuskan memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pembantu rumah perlu dimeterai segera.

“Bukan saya bermati-matian untuk menandatangani MoU dengan indonesia untuk pembantu rumah. Malangnya MoU telah tamat tempoh selama bertahun-tahun.

“Jadi sekarang Indonesia membuat syarat bahawa selagi Malaysia tidak menandatangani MoU untuk pembantu rumah, selagi itu Indonesia tidak akan membenarkan pekerjanya ke Malaysia. Inilah sebab kita cuba menandatangani MoU. Ini bukan apa yang kita mahu,” katanya.

Tambahnya, Maria hanya perlukan masa ‘seminit’ untuk mengangkat telefon dan menghubungi kementeriannya untuk mendapatkan penjelasan.

“Sekiranya kami tidak jawab, kemudian dia boleh kritik kami,” katanya.

Sementara itu, Saravanan berkata dia sedia maklum mengenai kekurangan pekerja asing dalam beberapa sektor.

“Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), terdapat 1.8 juta pekerja asing berdaftar dengan Perkeso. Hari ini hanya 1.1 juta pekerja berdaftar. Hampir 700,000 telah meninggalkan negara.

“Saya tahu ia adalah kekurangan yang besar. Saya berusaha siang dan malam untuk membawa pekerja dari negara sumber.

“Tetapi pada masa yang sama saya perlu pastikan pemain industri tidak menyalahgunakan pekerjaan untuk pekerja tempatan,” katanya.