KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai individu yang tiada modal politik apabila secara semberono melabelkan pemimpin UMNO yang dikaitkan ‘kluster mahkamah’ mempengaruhi perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata alasan itu jelas satu fitnah dan tuduhan memandangkan keputusan mengadakan PRN dibuat berdasarkan situasi politik di Johor ketika ini yang tidak stabil.

“Mana ada campur tangan pemimpin politik tertentu. Tak sama masa PH (Pakatan Harapan) memerintah dulu, kes terowong yang masih berjalan, akhirnya kes itu digugurkan.

“Kita tidak ada pun, kes mereka masih berjalan di mahkamah. Itu urusan mahkamah, jadi saya lihat kalau beliau kaitkan kluster mahkamah ini dengan PRN Johor, ia satu fitnah dan tuduhan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi di sini, hari ini.

Noh yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pengundi Johor perlu cakna dan tidak terus termakan dengan pembohongan yang dilontarkan Presiden BERSATU itu.

“Kalau Datuk Seri Najib (Razak) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (Hamidi) turun berkempen pun apa salahnya?. Mungkin sebab mereka takut bila Datuk Najib turun (PRN) Melaka dulu, BN boleh menang besar.

“Bagi saya tiada kena-mengena (kes mahkamah dihadapi pemimpin UMNO) dengan keadaan di Johor yang hanya memiliki kelebihan satu kerusi (di Dewan Undangan Negeri),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula 8 Mac.