BAHANG PRN Johor nampaknya sudah semakin panas dirasai ramai. Meskipun belum lagi hari pencalonan bermula, namun kempen telah dimulakan dengan hangat.
Di media-media sosial dan portal-portal berita semasa pula, pelbagai kaedah kempen kelihatannya sudah mula memenuhi segala ruang pembacaan. Semua pihak telah memulakannya tidak kira sama ada daripada PH, PN mahupun BN.
Namun malangnya, sekiranya diperhatikan corak pendekatan yang digunakan oleh pihak PN untuk meraih sokongan pengundi, mereka amat mengecewakan dan sekadar memberi gambaran ketandusan isu ataupun tiada hala tuju.
Berkempen dengan naratif “kluster mahkamah” bukan satu strategi yang bijak ketika keadaan rakyat dan negara sedang menghadapi pelbagai masalah ekonomi yang di antaranya juga berpunca daripada ketidakstabilan politik itu sendiri.
Malah individu yang dikaitkan dengan naratif ini tidak pula bertanding sebagai calon, sebaliknya pihak yang mencetuskan naratif ini pula yang khabarnya tidak mahu bertanding pertahankan kerusinya.
Berbalik kepada isu masalah ekonomi pula, Najib yang dinaratifkan sebagai kluster mahkamah ini yang kelihatan bersungguh-sungguh kemukakan idea bernas dan mengeluarkan amaran awal dalam isu menghadapi kenaikan harga makanan.
Contohnya baru-baru ini kenaikan harga bekalan telur ayam telah diberikan amaran agar kerajaan memberikan penekanan dalam mengurangkan kos operasi pengusaha telur.
Kurangnya populariti PN di kalangan rakyat menyebabkan mereka sibuk berpolitik hingga dilihat tidak berupaya mencari solusi yang mampu membawa penyelesaian terhadap masalah semasa yang menghimpit rakyat. Ditambah pula lagi dengan faktor rekod kegagalan ketika 17 bulan mentadbir negara.
Menggunakan pendekatan kempen “kluster mahkamah” yang dalam masa sama menyembunyikan pelbagai scandal salah laku pemimpin di parti sendiri hanyalah mencerminkan sifat kemunafikan pihak PN semata-mata.
Rakyat tidak boleh lagi dikaburi dengan kaedah kempen yang menggunakan naratif persepsi, penipuan mahupun fitnah tanpa bukti. Tetapi yang rakyat mahukan adalah sebuah kerajaan yang kukuh dan mampu membawa penyelesaian terhadap isu-isu semasa yang sedang mereka hadapi.
Maka dalam situasi begini, Barisan Nasional merupakan satu-satunya pilihan terbaik yang telah terbukti keberkesanannya dalam mentadbir negara.
Oleh: Ariffaizal Mohd Nor Ariffin