JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menempelak segelintir pemimpin veteran UMNO yang dilihat masih memegang jawatan dan hanya berjuang untuk kepentingan peribadi.
Sehubungan itu, Nur Jazlan memberitahu Ketua Bahagian dan ‘kuda-kuda tua’ yang bersikap lalang berkenaan harus dihukum dengan memadam nama mereka daripada tersenarai sebagai calon parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.
Menurutnya, individu berkenaan sudah terlalu lama bergelar wakil rakyat, menteri dan pelbagai kedudukan tanpa memberi peluang kepada orang lain untuk menjadi pemimpin.
“Pas pernah tuduh UMNO seperti ayam patah kaki sebab dalam kalangan pemimpin UMNO, ramai kuda tua yang bakal menjadi bebanan kepada parti nanti pada PRU15. Kuda-kuda tua ini boleh pula tuduh Presiden dan Penasihat UMNO sebagai liabiliti kepada parti sebab dilabel sebagai kluster mahkamah. Kononnya kluster mahkamah ini yang menyebabkan rakyat takkan undi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15. Mereka lupa rakyat, terutamanya di kawasan Parlimen kuda-kuda tua itu sebenarnya sudah muak dengan kepimpinan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Nur Jazlan turut mempersoalkan siapakah individu yang lebih bermaruah sama ada pemimpin yang lari meninggalkan parti untuk menyelamatkan diri atau yang duduk dalam parti tetapi jadi seperti api dalam sekam ataupun yang setia dan terus berjuang mempertahankan maruah UMNO.
“Sebab itulah saya rasa, sebaiknya kuda-kuda tua dan ketua bahagian yang bersikap lalang ini harus dihukum dengan padamkan nama mereka daripada senarai calon parti pada PRU15 nanti. Saya beri analogi mudah, buat apa kita simpan gelas yang sudah sompek, nak guna buat minum pun tak boleh, nanti luka bibir. Jadi, seeloknya kita ganti dengan gelas yang elok dan bersih.
“Begitu jugalah dengan pemimpin yang tak bermaruah ini. Kita jangan lagi kasi muka kepada mereka yang hanya mendatangkan kerosakan kepada dalaman UMNO. Masa mereka sudah tamat dan mereka sudah terlalu lama jadi kaduk naik junjung. Kalau ikutkan logik pun, bila kuda-kuda lumba sudah tua, ia akan dimasukkan dalam kandang sebelum ditamatkan riwayatnya. Apa taknya, kalau dibela atau disimpan lama-lama pun hanya menghabiskan beras saja,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai itu turut memberitahu, UMNO perlu memberi peluang kepada pemimpin muda dan pelapis bagi meneruskan kesinambungan perjuangan kerana mempunyai ramai pemimpin muda yang berwibawa dan berkaliber serta bersedia untuk membawa parti ke puncak kejayaan.
“Saya sudah lama memperjuangkan peremajaan parti dan memberi peluang kepada orang muda untuk memimpin. Saya pernah tawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 2008. Masa itu saya tekad untuk memulakan langkah dan membuka dimensi baharu dalam parti.
“Namun, niat saya itu disalah erti. Ada yang kata saya terlalu ‘ambitious‘, saya tak sabar dan ada juga cakap yang tak layak untuk merebut jawatan nombor dua dalam UMNO. Tapi malang ketika itu UMNO masih belum bersedia untuk menerima pembaharuan dan perubahan. Jadi, saya tak malu untuk tarik diri apabila saya gagal mendapat sebarang percalonan. Tapi sekurang-kurang saya menunjukkan saya berani memulakan perubahan dan tak takut dicantas,” katanya. – UTUSAN