Pemuda Umno mendesak kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai kontroversi berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata perlu ada noktah berhubung isu ini kerana andaian serta provokasi mengenai perkara itu amat tidak sihat kepada rakyat.

“Pemuda Umno berpendapat perlu ada satu titik noktah yang berautoriti agar semua pihak terutamanya pengguna akhir iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat mencapai objektif asal kepada perolehan ini seterusnya menjamin keupayaan pertahanan TLDM untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

“Malah, kepimpinan Umno yang berada di dalam kerajaan sebelum dan ketika ini juga mahukan agar siasatan dan tindakan menyeluruh terhadap laporan audit yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dapat dilakukan segera.

“Justeru, Pemuda Umno mendesak agar pihak kerajaan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat isu ini secara komprehensif dan bebas demi kepentingan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Bersatu menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal pembelian kontroversi isu LCS.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata petualang sebenar di sebalik skandal itu hanya akan dapat didedahkan melalui RCI yang telus dan berwibawa.

“Hanya melalui RCI yang telus dan berwibawa maka petualang di sebalik skandal ini akan dapat didedahkan dan dikenakan tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara tidak dikompromi.

“RCI ini akan memastikan ketelusan dalam siasatan, dan tiada apa-apa disembunyikan oleh mereka yang bersekongkol dengan rasuah dan perasuah,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Asyraf berkata rakyat memerlukan jawapan yang tuntas, bukannya andaian dan tuduhan semata-mata.

“Tuduh menuduh, andaian demi andaian serta provokasi oleh pelbagai pihak mengenai perkara ini amat tidak sihat dikalangan rakyat dan memberikan persepsi tidak baik mengenai aset-aset sensitif ketenteraan, kesiapsiagaan, pertahanan, keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya