12 Ramadan 1444H, Isnin – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menasihatkan rakyatnya tidak berkunjung atau melakukan perjalanan ke negara Tanzania serta Guinea Khatulistiwa, berikutan penularan demam berdarah teruk yang menjejaskan manusia.
Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa berkata, larangan itu adalah kebimbangan kerajaan terhadap keselamatan rakyat UAE.
Setakat ini, sembilan orang dilaporkan meninggal dunia, manakala seorang pesakit pulih sejak wabak yang dikenali sebagai virus Marburg itu menular.
Kementerian Kesihatan Guinea Khatulistiwa di Twitter memaklumkan, seramai 825 kontak rapat sudah dikenal pasti ketika ini.
Negara itu mengesahkan kes pertamanya pada Februari, dan melaporkan sembilan kes baharu disahkan minggu lalu, menjadikan jumlah kematian serta kes disyaki masing-masing pada 20, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“WHO mengambil maklum mengenai kes tambahan dan kami telah meminta kerajaan melaporkan kes ini secara rasmi kepada WHO,” kata pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
WHO berkata, terdapat juga wabak virus Marburg di Tanzania, di mana lapan kes termasuk lima kematian dilaporkan di wilayah Kagera barat.
Susulan itu, Kementerian UAE menggesa rakyatnya yang menetap atau melawat dua negara berkenaan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.- Agensi