Jika diimbas kronologi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu menjadi tauladan serta contoh di mana kerjasama dalam politik itu tidak mengambil jalan singkat untuk berjaya.

Kita berdepan dengan 12 PRK selepas PRU14 iaitu membabitkan lima (5) PRK di peringkat Parlimen dan tujuh (7) lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

PRK pertama yang berlaku sejurus selepas PRU14 ialah PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, menyaksikan UMNO-Barisan Nasional (BN) mula membentuk kerjasama politik dengan PAS yang memberi laluan kepada BN meletakkan calon ketika itu. Bagaimanapun, BN tidak berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Kemudian berlakunya PRK DUN Balakong dan DUN Seri Setia pada 28 September 2018 juga menyaksikan BN memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon mereka, namun sekali lagi kerjasama ini tidak berjaya.

Pada 13 Oktober 2018 pula berlangsung PRK Parlimen Port Dickson yang mana BN memboikot dan tidak meletakkan calon, sekaligus memberi laluan kepada PAS bertanding, namun sekali lagi tidak berjaya.

Empat bulan selepas itu pada Januari 2019 berlangsung PRK Parlimen Cameron Highlands di mana PAS ketika itu membantu calon BN yang kemudian berjaya memenangi kerusi Parlimen berkenaan.

Seterusnya, PRK DUN Semenyih dan Rantau pada Mac dan April 2019 ketika ke arah pembentukan Muafakat Nasional (MN) memberikan sinar dan BN berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Kejayaan demi kejayaan yang besar kemudian berhasil dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pada November 2019, seterusnya di PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari 2020, serta dua PRK DUN iaitu Chini dan Slim yang berlangsung pada Julai serta Ogos 2020.

Maksud yang ingin saya sampaikan berdasarkan kronologi PRK yang berlaku ini menyaksikan kerjasama politik antara musuh ketat yang berpanjangan pada asalnya dilihat satu yang mustahil, menimbulkan 1,001 persoalan dan tidak diyakini akar umbi ini akhirnya membuahkan hasil pada penghujungnya.

Begitu juga kerjasama politik yang belaku hari ini dalam Kerajaan Perpaduan, yang dahulunya musuh kuat kepada UMNO-BN, tetapi disebabkan kedinamikan landskap politik Malaysia pada hari ini, ia satu perkara yang tidak mustahil dan bukan suatu yang pelik.

Dalam konteks kerjasama politik, khususnya bersama seteru yang sekian lama dimusuhi, isu penerimaan akar umbi sememangnya satu yang tidak boleh diubah sekelip mata. Namun, peranan kita sebagai pendokong serta penggerak parti perlu “all out” memberi keyakinan kepada akar umbi.

Oleh yang demikian, pasca PRN yang baharu sahaja selesai ini, janganlah kita masih menuding jari mencari siapa yang salah, siapa yang patut bertanggungjawab dan siapa yang patut letak jawatan.

Sebaliknya, kita sama-sama mengambil tanggungjawab bangkitkan semula UMNO dan kembalikan semula kepercayaan rakyat serta pengundi kepada UMNO-BN. Itu yang lebih penting dan perlu kita lakukan mulai hari ini.

Justeru, di kesempatan ini, suka untuk saya mengingatkan diri saya mahupun semua pendokong parti, cukup-cukuplah kita mengadu domba! Cukup-cukuplah kita mencari salah orang sana dan sini! Cukup-cukuplah kita dengan mudah melepaskan tanggungjawab dan hanya meletakkannya ke atas seseorang individu sahaja!

Kita sebagai satu keluarga, satu pasukan. Sebaliknya kita perlu ingatkan diri kita dahulu adakah kita bersuara ini dengan diri kita sempurna dan telah memberikan sepenuhnya kepada parti? Adakah dalam masa kerjasama kedua-dua pihak yang berlaku selama 8 bulan ini kita sebagai pendokong parti mengikhlaskan diri?

Jika kita berterusan dibelenggu dengan persoalan-persoalan yang saya timbulkan ini, nescaya kerjasama ini memang tidak akan berjalan dengan lancar, tidak akan ke mana pun! Akan tetapi jika kita disebalik atau dapat menangkis persoalan itu, insya-Allah kita perolehi kejayaan demi kejayaan selepas ini.

Kini masanya untuk semua pihak bekerja! Mandat serta amanah yang sudah diberikan ini janganlah kita abaikan dan ketepikan. Rakyat dan pengundi sudah menjalankan tanggungjawab mereka, janganlah kita terus hidangkan mereka dengan episod politik yang jelik dan bosan untuk mereka tonton serta tertawakan.

Saat ini dan ketika ini, tugas kita ialah membuktikan kita mampu menggalas mandat dan amanah ini dengan sebaiknya!

Kepada Allah Berserah

HAIRI MD SHAH

NAIB KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA.