Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata surat-surat representasi dan perkembangan lain yang memberikan fakta baru berkaitan perbicaraan kes Yayasan Akalbudi terhadap Ahmad Zahid Hamidi membuatkan perbicaraan perlu dihentikan sementara siasatan lanjut dibuat.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Terrirudin berkata peranan Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegakkan, bukan memastikan mana-mana tertuduh disabitkan “melalui apa cara sekalipun”.

“Tugas hakiki jabatan ini adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegakkan sepenuhnya berlandaskan kata-kata yang dikenali sebagai Blackstone Ration, ‘It is better that ten guilty persons escape than that one innocent suffer‘,” katanya lagi.

Dia juga menyertakan sebab-sebab yang diberikan kepada mahkamah apabila memaklumkan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

Antaranya sebab yang diberikan adalah:

  • Keterangan 15 saksi pembelaan (termasuk Zahid sendiri) yang perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan penyiasatan.
  • Lanjutan daripada representasi yang dikemukakan Zahid, SPRM pada 20 Januari lalu memaklumkan kepada AGC bahawa penting untuk siasatan lanjut yang lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat.
  • Secara keseluruhan, Zahid menghantar enam surat representasi yang membangkitkan isu dan bukti baru yang memerlukan siasatan SPRM.
  • Surat representasi menyentuh isu berkenaan siasatan yang dikatakan dibuat secara “terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.
  • Zahid mendakwa dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih oleh kerajaan sebelum ini dan ia perlu disiasat pihak pendakwaan dan SPRM. Ia juga selari dengan rancangan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu yang dibangkitkan dalam memoir bekas peguam negara, Tommy Thomas.
  • Memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan AGC berkaitan kes tersebut yang tular di media sosial, yang penting kerana menyentuh secara langsung isu yang dibangkitkan Zahid melalui representasi yang dikemukakan dan menguatkan lagi alasan untuk siasatan secara meluruh terhadap Zahid.
  • Bagi tidak menafikan hak Zahid dan memastikan tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku, pertuduhan terhadapnya perlu dihentikan buat masa ini sehinggalah siasatan lebih menyeluruh dan lengkap selesai.

Ahmad Terrirudin menegaskan AGC bertanggungjawab untuk mempertimbangkan surat reprentasi yang diberikan tertuduh serta bekerjasama dengan pihak penyiasatan berkenaan butiran yang dikemukakan surat tersebut.

Dia berkata setiap representasi yang dihantar Zahid mempunyai lebih 200 halaman selain dokumen sokongan yang dilampirkan.

“Oleh itu, sudah tentu peguam negara dan jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen dengan penuh hemah sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat, termasuk meneliti representasi yang dikemukakan dan dokumen yang dilampirkan serta seterusnya, berhubung dengan pihak penyiasatan sebelum sebarang keputusan dan tindakan boleh diambil,” katanya.

Kes tak ditarik balik

Terrirudin juga menepis tanggapan bahawa AGC “menarik balik” pendakwaan terhadap Zahid.

Sebaliknya, dia berkata Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Subseksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada peguam negara untuk menghentikan pertuduhan di mana-mana peringkat perbicaraan, selagi penghakiman belum dibuat mahkamah.

“Penting juga untuk dinyatakan ini bukanlah kali pertama sesuatu tuduhan diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya lagi.

Dia juga menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi berkenaan kes tersebut memandangkan AGC hanya menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang.

“Jabatan ini dengan bantuan pelbagai pihak terutama piha penyiasatan masih menyiasat kesemua bukti baru yang timbul.

“Sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa semula tertuduh, mendakwa pihak lain yang berkaitan atau sebaliknya akan dibuat setelah siasatan yang lebih terperinci dan komperehensif selesai,” katanya lagi.