TEL AVIV, 10 November 2023, Jumaat – Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu sekali lagi menegaskan gencatan senjata di Semenanjung Gaza bergantung kepada pembebasan tebusan yang ditahan Gerakan Pejuang Islam Palestin (Hamas).
Netanyahu mengeluarkan kenyataan itu pada Khamis selepas pengumuman White House bahawa Israel bersetuju memulakan jeda kemanusiaan selama empat jam setiap hari di utara Gaza.
Kenyataan Netanyahu itu bagaimanapun bertentangan dengan pengumuman yang diumumkan Washington.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby berkata, kenyataan dibuat Israel adalah tiga jam sebelum jeda kemanusiaan ditetapkan untuk berkuat kuasa.
Namun, Netanyahu menegaskan bahawa pertempuran di Gaza diteruskan dan tiada gencatan senjata selagi tebusan Israel tidak dibebaskan Hamas.
“Israel menyediakan koridor selamat untuk orang awam yang berada dari utara ke selatan Semenanjung Gaza, di mana 50,000 warga Gaza melalui semalam,” katanya kenyataan itu.
Pemimpin pengganas Netanyahu turut menggesa penduduk Semenanjung Gaza menuju ke selatan, walaupun serangan Israel ke selatan wilayah itu berterusan.
Terdahulu, tentera pengganas Israel berkata bahawa tiada gencatan senjata di Gaza, namun jeda taktikal dan tempatan yang terhad.
Di sebalik gesaan antarabangsa dan rayuan untuk gencatan senjata kemanusiaan, Israel terus menentang perjanjian walaupun White House mendakwa rejim bersetuju menghentikan serangan selama empat jam setiap hari di utara Gaza.
Israel terus meningkatkan tindakan ketenteraannya, termasuk serangan udara, operasi darat dan pengeboman tentera laut terutama di wilayah utara Semenanjung Gaza.
Sehingga kini, lebih 10,000 orang awam Palestin dibunuh termasuk lebih 4,400 kanak-kanak sejak konflik bermula pada 7 Oktober lalu. – Agensi