TANJONG KARANG: Seorang Ahli Parlimen (AP) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa langkah kepimpinan parti mahu meminda perlembagaan Bersatu dianggap sebagai cubaan menakut-nakutkan enam APnya yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AP Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi, berkata beliau juga percaya tindakan sama turut menyasarkan wakil rakyat Bersatu lain yang sedang merancang mengikut jejak langkah sama.
“Apa yang didakwa sahabat saya (AP Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal), ada lima hingga lapan lagi AP yang akan mengubah sokongan kepada Datuk Anwar.
“Apa yang dilakukan ini sebahagian daripada agenda menakut-nakutkan dan menyekat mereka yang berkira-kira untuk mengubah sokongan,” katanya ketika sidang media di Tanjong Karang, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata parti itu akan meminda perlembagaannya bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyat yang berbuat khianat.
Pindaan itu dirancang dipinda pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac ini. Sebaik pindaan perlembagaan parti itu dilakukan, wakil rakyat Bersatu yang didapati khianat boleh hilang kerusi.
Ia susulan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 28 Januari bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang pada masa depan.
Datuk Hamzah dilaporkan berkata mesyuarat itu juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan Bersatu bersedia berdepan pilihan raya kecil (PRK).
Datuk Zulkafperi berkata pindaan itu yang didakwa bakal menjejas status beliau dan lima AP lain, tidak terpakai kepada mereka. Namun, katanya butirannya akan diserahkan kepada peguam untuk diuruskan.
“Perlembagaan yang nak diubah (pada 2 Mac ini) patutnya (babitkan) yang ke depan dan yang ke belakang (sudah berlaku) sepatutnya tidak terikat mengikut keadaan.
“Mereka mungkin boleh ubah apa-apa (yang mereka mahu), tetapi akhirnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan menetapkan sama ada pindaan tersebut boleh diterima atau boleh dilakukan,” katanya.
Selain Datuk Zulkafperi, lima lagi AP Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Datuk Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin (AP Bukit Gantang); Encik Zahari Kechik (AP Jeli); Encik Mohd Azizi Abu Naim (AP Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (AP Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (AP Labuan).