Sejarah panjang penubuhan MARA bermula sejak tahun 1950 lagi ketika RIDA ditubuhkan. MARA merupakan kesinambungan RIDA yang diwujudkan untuk memperhebatkan usaha membangunkan kaum Bumiputera terutamanya di luar bandar melalui aktiviti perdagangan dan perindustrian.
Selepas 58 tahun tertubuhnya organisasi keramat ini, jutaan warga Bumiputera telah mendapat manfaat dari program dan aktiviti yang telah dilaksanakan oleh MARA. Melihat ke hadapan, MARA terus merencana untuk membawa Bumiputera dan negara ke tahap yang lebih tinggi sesuai dengan amanah rakyat yang tergalas melalui mandat yang diperuntukkan dalam Akta MARA 1966.
Mandat penubuhan MARA perlu dilihat dari asas penubuhan RIDA sebelum zaman kemerdekaan. RIDA ditubuhkan dengan peranan untuk membangun kawasan luar bandar sama ada dari aspek sosial, pendidikan, kemudahan asas dan perindustrian. Hasil daripada kongres ekonomi Bumiputera yang pertama telah membawa kepada cadangan penubuhan MARA.
Melihat kepada mandat penubuhan MARA, dinyatakan secara jelas dalam akta bahawa “Adalah menjadi kewajipan MARA untuk memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Malaysia dan khususnya bagi kawasan-kawasan luar bandar”.
Penubuhan MARA seperti yang ditekankan oleh Tun Razak adalah ia dibangunkan dengan nafas baru dengan mandat yang lebih besar untuk melaksanakan tanggung jawab sebagai sebuah agensi yang menyusun semula struktur sosioekonomi masyarakat (socioeconomic enginering agency).
Seterusnya, MARA telah diamanahkan menjadi antara agensi penting untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan agenda mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) Berpaksikan kepada mandat inilah, MARA pada hari ini merencana program dan aktiviti seiring dengan tuntutan semasa dalam memenuhi harapan Bumiputera dan pembangunan negara.
Kita perlu akui berlaku perubahan besar dalam fasa pembangunan negara sejak awal kemerdekaan sehingga ke hari ini. Maka peranan MARA pada hari ini perlu dilihat dalam konteks semasa berdasarkan mandat yang telah digariskan oleh Akta MARA serta peruntukan yang diluluskan oleh agensi pusat.
Penekanan ini juga turut diterjemahkan dalam Akta MARA 1966 khususnya di bawah Seksyen 6 (2(a) hingga 2(f)) akta sama yang memperincikan peranan ini di mana empat perkara utama yang membentuk tunjang mandat MARA secara amnya adalah bagi membangunkan aktiviti ekonomi, keusahawanan dan perindustrian (Seksyen 6(2)(a)-(d). Manakala peranan MARA bagi menubuhkan institusi latihan dan pendidikan hanyalah dinyatakan di akhir sub perenggan 2 (e) seksyen yang sama.
Ia memberi maksud bahawa peranan serta mandat MARA juga seharusnya dilihat luas dalam bentuk yang substantif dari aspek ekonomi, perusahaan dan perniagaan kerana bukan sahaja ia dibenarkan oleh akta MARA malah ia merupakan “mandat asal” penubuhan MARA.
Mandat inilah yang dibawa oleh MARA sejak lebih lima dekad penubuhannya. MARA bukan sekadar terlibat dalam bidang-bidang konvensional, bahkan terlibat dalam industriberimpak tinggi dan berinovatif. Usaha ini saya lihat adalah bertepatan dan sejajar dengan kerangka pembangunan ekonomi negara untuk MARA terus menyumbang secara signifikan ke arah pemerkasaan dan pembangunan ekuiti Bumiputera.
“Kini selepas 58 tahun, MARA di bawah KKDW terus berperanan membantu memajukan orang Melayu dan Bumiputera dengan menggunakan pendekatan dari bawah ke atas iaitu berorientasi rakyat.
“Ini bermakna dengan mengumpul masalah dihadapi rakyat di peringkat akar umbi dan dibawa ke peringkat atasan untuk dicerakin dan diselesaikan,