PUTRAJAYA: Hingga kini 287 kertas siasatan dibuka oleh Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung kes berita palsu COVID-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata 113 daripadanya masih dalam siasatan manakala 51 kes didakwa di mahkamah. Sebanyak 30 kes didapati bersalah, 20 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

“Tindakan penguatkuasaan aktif juga sedang dijalankan pada masa ini berdasarkan laporan yang diterima.

“Kerajaan tidak akan tolak ansur mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran kepada orang awam, seterusnya menimbulkan kekecohan serta kemudaratan kepada kestabilan negara.

“Kerajaan melalui PDRM dan SKMM sangat komited dalam menangani penyebaran berita palsu, justeru tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih, tanpa mengira latar belakang,” katanya pada sidang media Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang mula berkuat kuasa hari ini.

Hadir sama sidang media itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali kepada penyebar berita tidak benar. Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, Ordinan itu hanya berkaitan penyebaran berita tidak benar berhubung COVID-19 dan pengisytiharan darurat sekali gus tidak harus disamakan dengan Akta Hasutan 1948 serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Memberikan alasan Ordinan itu dilaksanakan, Saifuddin berkata, ia susulan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdepan pelbagai kekangan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan bagi memerangi penularan berita palsu.

Sehubungan itu, beliau yakin 29 seksyen dalam ordinan itu yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, berupaya menyekat penyebaran berita palsu, didalangi pihak tidak bertanggungjawab.

“Tujuan kita ialah mempercepatkan proses kerana SKMM ada kekangan dalam laksanakan beberapa perkara, malah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sedang dalam proses dipinda.

“Ketika Akta 588 digubal pada 1998, kita tidak tahu macam mana lajunya berita palsu boleh disebarkan masa ini, justeru ordinan nombor dua digubal bagi merungkai isu ini,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini