PUTRAJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Ali Mohamad yang tewas di kerusi Sungai Udang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, memfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional, Dr Mohd Aleef Yusof, atas dakwaan wujud elemen rasuah.

Ali, yang kalah dengan majoriti 530 undi majoriti dalam pertembungan empat penjuru, memfailkan petisyen itu pada 14 Dis dan mahu Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan Aleef tidak dipilih mengikut tertib dalam PRN yang berlangsung pada 20 Nov.

Beliau mahu keputusan pilihan raya di kawasan itu dibatalkan dan mahkamah membuat keputusan bersesuaian, termasuk kos.

Ali menamakan Aleef, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Udang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebagai responden dalam petisyen itu.

Pengurusan kes akan diadakan di Melaka, pada 30 Dis, dengan Timbalan Pendaftar Mahkamah akan mengeluarkan arahan kepada pihak berkaitan.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya luar dari Melaka akan dilantik oleh Hakim Besar Malaya bagi mendengar pertikaian berkenaan.

Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya memperuntukan bahawa pertikaian berhubung semua pilihan raya mesti dilengkapkan dalam tempoh enam bulan selepas petisyen difailkan.

Dalam petisyennya, Ali berkata, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, bekas ahli Umno dan Ahli Parlimen Tanah Merah (Kelantan), menukar sokongan terhadap Bersatu, yang kini menjadi parti komponen PN.

Katanya, Aleef sebelum ini adalah ahli jawatankuasa Pemuda Umno Hang Tuah, sebelum dinamakan sebagai calon Bersatu untuk bertanding di kerusi Sungai Udang.

“Aleef sebelum ini tidak pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bergantung kepada Ikmal untuk diperkenalkan kepada pengundi di kawasan terbabit,” katanya.

Ali mendakwa, dalam pengetahuannya Aleef melakukan amalan rasuah dalam pilihan raya berkenaan atau dengan persetujuannya atau dilakukan oleh mana-mana ejennya yang tertakluk mengikut kesalahan Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 32(c).

Mahkamah berkuasa mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong sekiranya calon itu dikenal pasti terbabit dalam amalan sedemikian.

Ali juga mendakwa Aleef dan/atau Ikmal, mengemukakan hadiah berbentuk wang tunai atau dalam apa jua bentuk bertujuan menentukan keputusan pilihan raya di kawasan terbabit.

Dalam petisyen tersebut, beliau berkata, sejumlah besar undi tentera mengundi memilih Aleef, berbanding dirinya susulan dakwaan rasuah, dan beliau akan mengemukakan buktinya di mahkamah.

Aleef menerima sejumlah 6,789 undi, mengalahkan Ali (6,259), Hasmorni Tamby daripada Pakatan Harapan (2,035) dan calon Bebas, Mohd Zahar Hashim (471).

BN menguasai 21 daripada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, sekali gus memenangi dua pertiga majoriti untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

PH hanya berjaya menang di lima kerusi, manakala PN menang dua kerusi.

Selain Sungai Udang, PN menang di Bemban menerusi calonnya, Dr Mohd Yadzil Yaakub, yang meraih 4,211 undi menewaskan calon BN Koh Chin Han (3,883).