
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat pendedahan berhubung dakwaannya bahawa terdapat individu tertentu ‘mengawal’ Liga Malaysia.
Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerusi laman Twitter miliknya pada Isnin menggesa Muhammad Sanusi agar menceritakan segala-galanya serta mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan oleh beliau.
“Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segalanya, ini cakap main sembur badut McDonald pun boleh.
“Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam, terus buat cerita sensasi nak naikkan ‘rating’. Sikap tipikal ahli politik,” tulis TMJ menerusi ciapan tersebut.
Menerusi program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi mengulangi pendiriannya untuk menolak budaya ‘supreme’ atau memberikan kuasa penuh kepada seseorang individu dalam sukan bola sepak.
Beliau mendakwa, terdapat individu yang mahu pihak tertentu mengikut telunjuknya.
Malah katanya, lebih dahsyat individu terbabit sanggup memberi bonus kepada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah dalam saingan Liga Malaysia.
“Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu, kawan (ada pihak) nak pergi latihan sana, kena tanya dia dahulu.