Thursday, May 15, 2025

BERITA PILIHAN

SENARAI BERITA BERKAITAN

Siapa arah SPRM tumpu siasatan pada Zahid? – Peguam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memberi penjelasan mengapa siasatan berhubung ‘suapan’ yang dibayar oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) tertumpu kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi semata-mata.

Dalam satu kenyataan, peguam Haniff Khatri Abdulla berkata hal itu perlu dijelaskan bagi menjaga reputasi SPRM.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan peguam negara Idrus Harun (harus) mengeluarkan kenyataan rasmi untuk memberi penjelasan,” katanya.

Haniff mengulas artikel portal FMT semalam yang memetik sumber tanpa nama yang mendakwa SPRM telah menyiasat beberapa individu yang disebut dalam lejar UKSB.

Sumber itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata SPRM beberapa tahun lalu telah meneliti beberapa nama yang disebut dalam lejar yang disimpan oleh bekas pengurus UKSB.

Antara lain, sumber itu mendakwa Khairy Jamaluddin, Muhyiddin Yassin dan anak saudara bekas perdana menteri adalah antara individu yang disiasat, tetapi tiada kes terhadap mereka.

“Ada beberapa ahli perniagaan dikatakan menerima wang, tetapi ketika itu kami diarah tumpu pada Zahid.

“Sekarang ini kami meneruskan siasatan ke atas semua nama yang terkandung dalam lejar itu,” kata sumber itu, seperti dilapor FMT.

SPRM dikritik kerana didakwa melakukan pendakwaan terpilih selepas beberapa pengarah UKSB memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa mereka membayar Zahid dan beberapa tokoh politik lain.

Paling mencuri tumpuan adalah pendedahan bahwa UKSB membayar RM1.3 juta kepada Muhyiddin Yassin semasa dia menjadi menteri dalam negeri pada 2018, yang membawa kepada desakan supaya dia didakwa.

Selepas menerima kritikan, SPRM setuju menjalankan siasatan ke atas semua individu yang dinamakan dalam lejar yang dikatakan disimpan oleh bos UKSB.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli majlis tertinggi Umno Razlan Rafii menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya atas dakwaan bersubahat dan melindungi mereka yang dinamakan dalam lejar tersebut.

Pada masa itu, Muhyiddin masih bersama kerajaan Pakatan Harapan.

Kerajaan PH melantik Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 4 Jun 2019, tiga minggu sebelum Zahid didakwa di mahkamah.

Untuk rekod Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB supaya kerajaan melanjutkan kontrak kepada syarikat tersebut.

Kontrak itu adalah untuk mengendalikan Pusat Sehenti di China dan sistem Visa Luar Negara (sistem VLN), serta mengekalkan perjanjian untuk membekalkan peralatan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama.

Ahmad Zahid adalah timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika bayaran dibuat antara Oktober 2014 dan Mac 2018.