Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia menyerahkan sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Bercakap ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) hari ini, Anwar menyifatkan dakwaan menteri besar Kedah itu sebagai “tidak bertanggungjawab” dan mengesahkan beberapa laporan polis telah dibuat, termasuk di bawah Akta Hasutan.

“Saya serah sepenuhnya pada AGC untuk ambil tindakan sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung dakwaan itu.

Pada mulanya beberapa ahli parlimen pembangkang cuba membangkitkan peraturan mesyuarat bagi menghalang Lim daripada bertanyakan soalan itu, yang didakwa mereka mengandungi tanggapan negatif.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagaimanapun membenarkan Lim meneruskan pertanyaannya, dengan berkata dia tidak mendapati ada unsur tersebut.