Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi membantu seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Menurut Presiden Umno itu, kejadian berlaku semasa dia dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pecah tanah bangunan MIC.
“Tadi, semasa saya dalam perjalanan pulang setelah menghadiri majlis pecah tanah bangunan MIC, saya kebetulan melihat berlakunya kemalangan yang baru terjadi melibatkan sebuah kereta dan penunggang motosikal berdekatan Jalan Tuanku Abdul Halim.
“Kami bergegas membantu En Satnam dan saya telah pastikan agar rawatan serta urusan perubatan beliau dapat disegerakan,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu tular satu video yang menunjukkan Ahmad Zahid sedang membantu penunggang motosikal berkenaan.
Dalam video berkenaan, penunggang motosikal terbabit dipercayai cedera parah dalam kemalangan itu.
Ahmad Zahid bersama orang awam cuba membantu dan menenangkan mangsa kemalangan berkenaan.
“Saya doakan Satnam kembali sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” katanya lagi