JOHOR BAHRU – Keputusan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai cabaran tambahan UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO tidak menganggap Muda sebagai satu ancaman sebaliknya melihatnya sebagai satu kedinamikan politik dalam proses demokrasi tanah air.

“Ini demokrasi dan semua parti mahu bertanding, kita berfikiran terbuka dan tidak ada halangan kerana kita mengamalkan politik yang matang. UMNO ada strategi sendiri dalam usaha menarik pengundi muda semasa PRN Johor.

“Antaranya menerusi sayap parti pemuda dan puteri yang sudah dilakukan sejak tahun sebelum ini lagi.

“Terdapat 750,000 pengundi muda dan baharu pada PRN Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat melibatkan semua setiausaha UMNO dari 26 bahagian seluruh Johor di Bangunan UMNO Johor, Jalan Yahya Awal di sini pada Selasa.