KUALA LUMPUR: Tanco Holdings Bhd (Tanco), melalui anak syarikat milik 79 peratusnya, Midports Holdings Sdn Bhd (Midports) memeterai memorandum perjanjian (MOA) bersama CCCC Dredging Southeast Asia Sdn Bhd untuk merasmikan peranan CDSA sebagai perunding profesional projek pelabuhan kontena pintar kecerdasan buatan (AI) pertama Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pelabuhan kontena pintar AI itu adalah sebahagian daripada visi luas Tanco untuk mewujudkan hab maritim canggih di Asia Tenggara, yang menggunakan teknologi terkini dan penyelesaian AI.
Projek berkenaan terletak di kawasan seluas 194.25 hektar dengan akses semulajadi ke perairan dalam melebihi 21 meter, membolehkannya menampung kapal kontena terbesar di dunia.
CDSA adalah anak syarikat firma Global Fortune Top 500 dari China, CCCC Dredging (Group) Co Ltd.
Perjanjian itu juga menetapkan kerangka kerja bagi CDSA untuk menyediakan perkhidmatan reka bentuk menyeluruh untuk pelabuhan pintar AI berkenaan, termasuk reka bentuk konseptual, reka bentuk kejuruteraan peringkat awal (FEED), dan kejuruteraan terperinci.
Perkhidmatannya akan merangkumi aspek utama seperti dermaga, jambatan pendekatan, lembangan pelabuhan, dan kawasan penyimpanan, menjadikan pelabuhan ini sebagai projek infrastruktur terkini yang akan meningkatkan peranan Malaysia dalam logistik maritim global.
Pengarah Urusan Kumpulan Tanco, Datuk Seri Andrew Tan Jun Suan, berkata kepakaran industri mendalam dan rekod kejayaan CDSA dalam pembangunan pelabuhan global akan memainkan peranan penting dalam memastikan reka bentuk dan pelaksanaan yang berjaya bagi pelabuhan pintar AI pertama Malaysia.
“Projek ini mencerminkan komitmen kami terhadap infrastruktur inovatif dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Persatuan Dredging China dan Pengerusi Kumpulan CCCC Dredging (Group), Liu Yongman, berkata, Malaysia adalah nadi Asia Tenggara dan bahagian penting dalam Inisiatif Jalur dan Laluan, dengan populasi Asia Tenggara mencecah kira-kira 696 juta.
“Projek Midports terletak di kawasan strategik di tengah-tengah Selat Melaka. Kerjasama kami dengan Tanco untuk Pelabuhan Kontena Pintar AI ini menandakan permulaan bab baharu dalam kerjasama dua hala.
“Dengan teknologi canggih dan kepakaran kami dalam bidang mengorek dan pembangunan pelabuhan, kami yakin bahawa projek ini akan meningkatkan keupayaan logistik Malaysia dan menyumbang kepada kemakmuran kedua-dua negara.
“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Tanco Holdings untuk merealisasikan pelabuhan inovatif ini,” katanya.
Setelah siap, pelabuhan itu dijangka akan memperkukuhkan infrastruktur logistik Malaysia secara signifikan, mencipta zon industri baharu dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, rangkaian pengangkutan yang sedia ada dan akan datang, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), akan meningkatkan lagi kedudukan Midports sebagai hab penghantaran semula yang penting di Asia Tenggara.