BEIJING, 21 Mac 2022 – Sebuah pesawat penumpang milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines yang membawa seramai 132 penumpang dilaporkan terhempas di wilayah autonomi Guangxi Zhuang, selatan negara itu, tengahari tadi.
Namun, jumlah kematian sebenar masih belum dipastikan sehingga kini.
Kejadian berlaku apabila pesawat Boeing 737, MU5735 dengan 123 penumpang bersama sembilan lagi anak kapal dalam perjalanan dari Kunming di wilayah Yunnan menuju ke Guangzhou, selatan negara berkenaan.
Bagaimanapun, pesawat berkenaan dikatakan terhempas di kawasan pergunungan di daerah Wuzhou, lapor agensi berita Xinhua.
“Pasukan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian dan jumlah kematian sebenar masih belum disahkan.
Sumber : https://news.cgtn.com
“Pelbagai agensi termasuk pasukan bomba dan penyelamat, pasukan penyelamat kebakaran hutan telah tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Pesawat Boeing 737-800 yang telah beroperasi melebihi enam tahun itu mempunyai 162 tempat duduk termasuk puluhan tempat duduk bagi kelas perniagaan.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, dapat dilihat kepulan asap tebal memenuhi kawasan pergunungan berkenaan.
Manakala beberapa bahagian pesawat, termasuk sekeping sayap pesawat berkenaan yang tertera ‘China Eastern Airlines’ dilihat bertaburan di atas tanah. – Agensi