KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen pada Rabu diberitahu bahawa pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali telah mendera remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, setiap hari selama hampir empat bulan.

Yasmin Nahar Mahmood, 18, penghuni Rumah Bonda berkata, kejadian itu berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

“Saya dan Aida (penghuni rumah itu) turut diarahkan oleh Siti Bainun untuk memukul Bella,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun pada perbicaraan kesnya yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berumur 13 tahun itu.

Menceritakan sikap Bella sewaktu beliau kali pertama berjumpa remaja itu, Yasmin berkata, pada mulanya Bella seorang periang dan suka bercakap tetapi dia berubah sikap apabila ternampak Siti Bainun.

“Bella takut sangat dengan Siti Bainun, sampaikan hendak keluar bilik pun dia takut-takut. Kena tengok kiri kanan,” kata Yasmin.
Saksi pendakwaan kelima itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Farhan bahawa beliau senasib dengan Bella.

Disoal peguam itu mengapa saksi tersebut tidak keluar dari Rumah Bonda, Yasmin menjawab: “Sebab Siti Bainun tidak bagi”.

Sementara itu, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa terdapat juga penghuni lain yang didera oleh Siti Bainun selain Bella, yang dikenali sebagai ‘Kakak Hidayah’.

Saksi itu mendedahkan perkara tersebut selepas tidak bersetuju dengan cadangan Farhan bahawa tiada kejadian seumpama Bella yang terjadi pada penghuni Rumah Bonda lain mahupun anak angkat kepada pengasas rumah kebajikan itu.