Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan akan meneruskan bantuan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan wang ihsan RM1,000 bagi meringankan beban mereka yang terjejas.
Jelasnya, bantuan itu akan diberikan kepada mangsa yang berdaftar dan mereka yang layak.
“Bantuan untuk isi rumah terhadap kemusnahan yang diumumkan oleh pentadbiran kerajaan yang lalu akan teruskan.
“Pembayaran itu akan dilakukan sebelum banjir reda. Ia akan diberikan kepada mangsa banjir yang berdaftar dan layak,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Deh Rantau Panjang hari ini.
Dalam masa sama, katanya, bantuan bagi membaik pulih rumah juga akan diteruskan seperti diberi pentadbiran yang lalu.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM12 juta untuk mengatasi masalah banjir termenung di Rantau Panjang.
Katanya, peruntukan itu melibatkan pembelian enam pam berkuasa tinggi untuk menyedut keluar air dari kawasan yang terkesan dengan banjir termenung.
“Kita akan tempatkan di enam lokasi yang telah dikenal pasti bagi mengatasi masalah ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berada di Kelantan untuk lawatan kerja dan menziarahi mangsa banjir yang terjejas, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.