Pemuda Umno Kelantan menyokong gandingan Hasmuni Hassan sebagai calon ketua Pemuda Umno dan Hairi Mohd Shah sebagai calon naib ketua bagi menerajui sayap parti itu.
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pihaknya yakin mereka berdua dapat meneruskan agenda memperkasakan ahli-ahli pemuda di cawangan seluruh negara dengan temanya ‘Terus Bangkit’.
“Pengalaman Datuk Hasmuni sebagai setiausaha Pemuda Umno Malaysia sebelum ini tentunya lebih arif dan masak dengan kehendak akar umbi pemuda di setiap bahagian.
“Kematangan dan kebijaksanaannya dalam membuat keputusan amat ditagih dalam membawa Pemuda ke arah lebih baik, bukan sekadar meraih populariti sahaja,” katanya dalam kenyataan media.

Semalam Hasmuni dilapor menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti itu akan datang.
Pasukannya turut dianggota Hairi yang akan bertanding untuk jawatan naib ketua pemuda Umno.
Mengenai Hairi, Hairiri berpendapat ketua Pemuda Umno Johor itu dapat memainkan peranan besar jika dipilih memegang jawatan nombor dua dalam sayap parti itu.
“Pengalaman politik beliau selama 5 tahun sebagai Ketua Pemuda Umno negeri Johor dan pengalaman mentadbir dalam kerajaan sebagai Exco Belia dan Sukan Negeri Johor tentunya memberi kelebihan dalam mencorak kanvas politik baru dalam menarik kembali sokongan anak muda kepada Umno.
“Saya menyeru kepada semua perwakilan pemuda seluruh negara untuk memilih kedua-dua pemimpin muda ini,” katanya.
Selain Hairi, pasukan Hasmuni turut dianggotai Dr Akmal Salleh yang akan bertanding jawatan Setiausaha Pemuda Umno, Mohd Naim Mokhtar (Bendahari Pemuda Umno) dan Mohd Sollehin Mohamad Tajie (Ketua Penerangan Pemuda Umno).
Hasmuni menjadi individu kedua yang mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Armand Azha Abu Hanifah membuat pengumuman sama bulan lalu.
Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac depan.
Mkini