Pemilihan Umno bagi sesi 2023/2026 menyaksikan lapan calon sah merebut jawatan Naib Presiden parti itu.
Dua daripada calon itu ialah penyandang jawatan berkenaan iaitu Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid.
Tiga lagi calon ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Johari Abdul Ghani.
Turut bertanding Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli Umno Bahagian Iskandar Puteri.
Nama calon yang bertanding bagi jawatan itu diumumkan dalam majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam, yang turut dihadiri oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan.
– Bernama