KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri selain Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pelantikan Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini, selang hampir dua minggu selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN Sarawak) baru-baru ini.

Dr Sim turut memegang portfolio Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Barisan kabinet baharu ini terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda. Prestasi dan keberkesanan ahli Kabinet ini akan dinilai dan dianalisis menjelang suku pertama 2022,” katanya pada sidang media khas di sini.

Kabinet sebelum ini turut membariskan tiga Timbalan Ketua Menteri terdiri daripada Uggah, Awang Tengah dan mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing yang meninggal dunia pada 31 Oktober lepas. Masing merupakan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Pada PRN12, SUPP menang 13 daripada 18 kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

Selain Dr Sim, antara wakil SUPP dalam kabinet baharu ADUN Pelawan, Michael Tiang yang juga muka baharu dilantik sebagai Menteri Muda II Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara tiga lagi wakil SUPP lain yang turut menganggotai kabinet baharu Dato Sri Lee Kim Shin yang memegang portfolio Menteri Pengangkutan, Datuk Francis Harden Hollis dilantik Menteri Muda II bagi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dan Datuk Sebastian Ting sebagai Menteri Muda I bagi Kementerian Pelancongan, Industri kreatif dan Seni Persembahan.

Parti itu berjaya merampas balik kerusi Bukit Assek, Kota Sentosa, Pelawan, Tanjung Batu dan Pujut yang sekian lama dicengkam Parti Tindakan Demokratik (DAP).

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini