Kerajaan Perak tidak terjejas walaupun tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu, termasuk seorang anggota Bebas, menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) susulan tiada penarikan sokongan berlaku, kata Menteri Besar Saarani Mohamad.
Beliau berkata, keutuhan pentadbiran kerajaan negeri kekal, selagi mempunyai mandat menerusi jumlah kerusi mencukupi.
“Sekarang kita mempunyai 36 kerusi yang masih menyokong pentadbiran kerajaan negeri dan tiga ADUN lompat ke parti lain ini tidak menarik sokongan.
“Justeru, ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada keabsahan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan dua ADUN Bersatu, iaitu A Sivasubramanian (Buntong) dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh), selain Leong Cheok Keng (Bebas-Malim Nawar), mengambil keputusan untuk menyertai PBM yang baharu dilancarkan.
Susulan mesyuarat agung luar biasa PBM Sabtu lalu, Sivasubramaniam dan Choo Kiong, masing-masing dilantik sebagai Naib Presiden serta Bendahari Agung, manakala Cheok Keng kini menyandang jawatan ahli Majlis Tertinggi.
Pada 19 Jan tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chieng Jen, dilaporkan berkata, Cheok Keng dipecat daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta memandangkan beliau menyertai MCA.
Dewan Undangan Negeri Perak kini terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional, DAP (15), Parti Amanah Negara (lima), BERSATU (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu).