KLUANG: Calon-calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu memenuhi aspirasi rakyat Johor dalam memastikan kestabilan politik di negeri ini, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata calon BN pada PRN Johor adalah kombinasi antara pemimpin berpengalaman dan muka baharu serta gabungan kumpulan profesional dan aktivis masyarakat.

“Saya yakin calon-calon ini adalah pilihan yang tepat bagi membolehkan rakyat memberi mandat (kepada Barisan Nasional) pada PRN Johor ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan dan Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Akhir Peserta Felcra Berhad 2021 di sini hari ini.

Hari ini, BN yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi pada PRN Johor mengumumkan calon-calonnya terdiri daripada UMNO dengan 37 calon, MCA (15) dan MIC (empat).

Lebih 70 peratus calon BN terdiri daripada muka baharu manakala 80 peratus daripada mereka memiliki latar belakang akademik yang tinggi dan berusia 55 tahun ke bawah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan penamaan calon dijadual Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini