ES menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang membimbangkan, kata Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata perangkaan SPRM menunjukkan 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan itu sejak 2019 hingga kini.

“Banyak kesalahan rasuah dilakukan dan yang menjadi pilihan lazimnya melibatkan penerimaan suapan dan salah guna kuasa.

“Kami terima 312 maklumat kes penerimaan suapan dan 147 maklumat kes salah guna kuasa di Pulau Pinang,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian dalam program Cakna Rasuah bersama radio Mutiara.fm, RTM Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut Azam berkata, perkara itu membimbangkan kerana ia melibatkan salah guna kuasa seperti menggunakan jawatan untuk pemberian kontrak kerja kepada keluarga atau individu yang mempunyai pertalian darah.

Menurutnya, kesalahan membuat tuntutan palsu untuk sesuatu kerja yang dilaksanakan juga banyak berlaku di negeri tersebut.

“Sebagai contoh, individu yang kononnya melaksanakan sesuatu pekerjaan dan dia membuat tuntutan palsu (untuk kerja dilaksanakan) seolah-olah dia yang buat kerja itu, ia banyak berlaku dan amat merugikan.

“Saban hari ia semakin meningkat, saya minta semua ketua jabatan untuk memantau pegawai mereka yang diberi kuasa dalam memutuskan sesuatu keputusan dan dari segi tadbir urus,” katanya.

Katanya lagi, penjawat awam adalah kumpulan sasar pertama SPRM (pantau dan siasat) kerana mereka nadi pentadbiran kepada sesuatu negeri dan dalam negara ini.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk melihat isu rasuah dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang dan di negeri-negeri lain,” katanya.