TIDAK guna melabur sampai berjuta-juta ringgit untuk menyediakan padang rumput yang terbaik dan kerja-kerja pemasangan memakan masa berbulan-bulan demi aksi bola sepak yang terbaik akhirnya dimusnahkan dalam satu malam sahaja.

Namun itulah yang berlaku terhadap padang rumput Zeon Zoysia bernilai RM1.4 juta tajaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akhirnya rosak teruk akibat membenarkan pentas konsert penyanyi antarabangsa dipasang di tengah padang.

Bagaimanapun, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang bertanggungjawab menguruskan SNBJ sekadar memohon maaf kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC kerana gagal membaik pulih padang tersebut menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia malam esok.

Permohonan maaf juga ditujukan kepada para penyokong kedua-dua pasukan ekoran keadaan padang SNBJ yang kurang memuaskan menjelang aksi final.

PSM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay pada 22 November lalu.

“PSM komited melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan,” kata kenyataan itu hari ini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini