JOHOR BAHRU: Rakyat di negeri ini perlu memahami naratif Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat demi kebaikan Johor serta mereka sendiri.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam adalah keputusan tepat biarpun ditentang parti  blok pembangkang.

“Memang mereka menyatakan akan memberi kerjasama penuh kepada pentadbiran kerajaan negeri sehingga tamat penggal ini walaupun memiliki majoriti tipis dengan hanya satu kerusi.

“Namun, kita perlu tahu bahawa mereka membawa usul yang berbeza. Jadi, keadaan itu (majoriti tipis) tidak perlu berlaku dan (PRN Johor) perlu dilakukan untuk kepentingan ramai,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN di negeri ini.

Mengulas lanjut, Samsolbari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang itu menolak dakwaan PRN dilakukan dalam keadaan yang tidak sesuai.

Katanya, kerajaan Negeri melakukan tugas dengan baik dalam memerangi penularan Covid-19 di negeri ini serta teratur dalam pengurusan mendepani situasi sebelum, semasa dan pasca banjir.

“Isu itu tidak timbul setelah kerajaan melaksanakan tanggungjawab yang baik dalam menjaga kebajikan rakyat ketika diuji bencana alam serta penularan wabak Covid-19.

“Setiap daerah telah ditangani dengan baik dan ini harus kita hayati bagaimana kerajaan Johor tangani banjir seperti daerah Segamat yang terjejas teruk tetapi kerajaan Johor ambil pra persediaan untuk menangani ujian Allah ini,” katanya.

Ditanya mengenai adakah UMNO akan meletakkan beberapa calon muda untuk bertanding pada PRN nanti, jelasnya, itu belum diputuskan dan pemilihan dijangka akan dibuat berdasarkan prestasi semasa parti dan wakil rakyat.- UTUSAN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini