ISTANBUL, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Pihak berkuasa Turki menghentikan sementara semua penerbangan di Lapangan Terbang Istanbul berikutan salji lebat di ibu negara.

Salji lebat turut menghentikan beberapa perkhidmatan feri Istanbul, menutup beberapa batang jalan dan menyebabkan masalah penglihatan bagi pemandu.

Di seluruh negara, Pihak Berkuasa Bencana dan Kecemasan berkata, kira-kira 4,600 orang terkandas akibat cuaca dan lebih 6,700 dibawa ke pusat perlindungan, manakala ribuan bekalan makanan dihantar kepada mereka yang memerlukan.

Kebanyakkan kawasan di Turki dilanda salji lebat sejak minggu lalu.

Syarikat penerbangan Turki, Turkish Airlines (THYAO.IS) berkata, ia telah membatalkan semua penerbangan dari Lapangan Terbang Istanbul sehingga Selasa jam 1 pagi waktu tempatan bagi memastikan ‘keselamatan perjalanan dan untuk penumpang kami’ serta mengelakkan mereka daripada terkandas di lapangan terbang.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya berkata di Twitter bahawa waktu bekerja untuk institusi awam akan berakhir lebih awal, bersama-sama dengan penutupan awal bagi pusat beli-belah berikutan salji di bandar yang mempunyai kira-kira 16 juta orang itu.

Kenderaan yang tiba dari barat bandar tidak dibenarkan memasuki wilayah itu, manakala pelepasan dari terminal bas terbesar Istanbul dihentikan sehingga Selasa pada jam 5 pagi, katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu memberitahu Reuters bahawa salji yang turun – menyebabkan masalah perjalanan – akan meredakan keadaan kering sejak musim panas apabila kapasiti empangan menyusut ke paras terendah beberapa tahun.

“Istanbul bergantung kepada rahmat salji. Jika ia tidak mengalami setiap musim seperti yang diharapkan, risiko berbeza menanti,” katanya, sambil menambah kira-kira 10-15 sentimeter (cm) salji direkodkan di bandar dan 25 cm (9.84 inci) di kawasan luar bandar.

Salji dijangka meningkatkan paras air di empangan kepada kira-kira 70 peratus kerana ia berterusan dalam beberapa hari akan datang, katanya. – Agensi