PUTRAJAYA: Penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2021 adalah isyarat penting kepada perkhidmatan awam dan swasta di negara ini untuk meneruskan tekad membanteras gejala berkenaan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata kedudukan Malaysia yang kurang memberangsangkan, iaitu tangga ke-62 berbanding 57 pada 2020, adalah realiti pahit yang perlu diterima dengan hati terbuka.
“Walaupun ia sekadar persepsi, realiti ini adalah isyarat penting kepada kita semua meneruskan tekad membanteras rasuah dengan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan agensi dan individu, sama ada dalam perkhidmatan awam atau swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.
