UMNO Selangor menyerahkan keputusan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi memuktamadkan kedudukan parti itu bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau juga akur sekiranya UMNO Selangor perlu bertanding secara solo pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya lihat semua bergantung kepada keadaan tapi jika kita lihat dua Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), BN bergerak solo, menang pun agak luar biasa.

Saya akan akur dengan keputusan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi dan pimpinan, kita di Selangor boleh cadang, akhirnya kena bersetuju dan akur (dengan keputusan MKT) demi perpaduan serta masa depan parti.

“Kita mesti berdasarkan kepada satu keputusan ertinya dalam peperangan ini kena ada satu nakhoda sahaja jadi saya sebagai ‘orang bawah’ akan akur apa sahaja keputusan pucuk pimpinan,” katanya.

Noh berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Isnin.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan MKT diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti yang dipersetujui sebulat suara oleh ahli parti Ahad lalu membuktikan perpaduan parti itu bertambah mantap.

SH