Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata konvensyen yang akan diadakan pada 1 Jun 2022 ini bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional yang ke 48.
“Perhimpunan yang bertemakan Kesetiaan dan Kestabilan akan melibatkan kehadiran sekitar 4,000 orang serta dijalinkan dalam dua sesi,” kata Zambry.
Konvensyen yang akan diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu akan berlangsung pada 2 sesi dimana sesi pertama di sebelah pagi iaitu Konvesyen BN dengan tema ‘BN Melakar Masa Hadapan yang akan dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.
Sesi kedua pula akan dilakukan pada waktu petang iaitu kemuncak sambutan ulang tahun yang akan dimulakan denga acara menaikkan bendera Barisan Nasional dengan dihadiri oleh pimpinan utama iaitu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Presiden parti-parti komponen.
Turut hadir Ahli-Ahli Dewan Tertinggi BN, Presiden parti-parti bergabung, serta pimpinan Barisan Nasional dan parti bergabung peringkat Negeri dan Bahagian-bahagian dari seluruh Negara.
“Perhimpunan kali ini diadakan dalam semangat untuk mengukuhkan solidariti Barisan Nasional dan juga sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15,” ujar Zambry lagi.
Dalam masa yang sama, Zambry menekankan perhimpunan yang diadakan ini juga akan membawa mesej-mesej komitmen Barisan Nasional terutama tawaran dan pendekatan yang akan menjadi harapan baharu buat rakyat Malaysia.