KUALA NERANG – Pas tidak wajar membuat kenyataan berbaur ugutan terhadap UMNO berhubung kerjasama dua parti itu di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana persaudaraan yang terjalin dibina atas keikhlasan, bukannya atas ugutan.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin parti berkenaan hendaklah lebih harmoni ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan MN yang diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’.

“Sebenarnya tak boleh ada ugut-mengugut. Lebih baik kita bercakap benda yang baik-baik sikit untuk membina kebaikan daripada kita membuat kenyataan yang seakan ugutan,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap di sini pada Selasa.

Mahdzir berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dipetik berkata, Pas yakin keengganan UMNO untuk mempertahankan MN akan mengakibatkan parti itu ditolak pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Kedah itu turut menegaskan, perpaduan ummah yang menjadi teras kepada penyatuan MN itu akan mendapat sokongan rakyat sebagaimana Pas yang tidak berputus asa mempertahankan MN walaupun ia dilihat seperti ‘retak menanti belah’.

Tambah Muhammad Sanusi, ia selari dengan matlamat Pas yang berpendirian bahawa perpaduan ummah penting untuk mengukuhkan kuasa politik orang Melayu.

Sinar Harian