Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemegang sijil dan diploma yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) layak memasuki sektor perkhidmatan awam.
Justeru, beliau meminta agar dakwaan di beberapa portal media kononnya Diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diguna pakai bagi berkhidmat dalam Skim Perkhidmatan Awam dihentikan.
Ahmad Zahid berkata, secara umumnya, program terbabit dilaksanakan oleh institusi TVET berdasarkan pentauliahan oleh dua badan akreditasi utama iaitu Agensi Kelayakan Malaysia dan JPK berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia.
Beliau berkata, bagi sektor perkhidmatan awam, berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016 – Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia yang dikeluarkan oleh JPA, sebanyak 68 skim perkhidmatan iaitu 66 bagi gred 19 dan 2 bagi gred 29 telah memperuntuk Persijilan Kemahiran Malaysia sebagai antara syarat permohonan ke Perkhidmatan Awam.
Ahmad Zahid berkata, berdasarkan Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam, atau eSisraf, kelayakan DKM turut diterima untuk lantikan ke Perkhidmatan Awam.
eSisraf ialah sistem daftar yang menyenaraikan semua program pengajian peringkat sijil, diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda serta mana-mana kelayakan diiktiraf oleh kerajaan. Beliau berkata, dari semasa ke semasa, JPK akan merujuk kepada JPA bagi meneliti perihal pengiktirafan jika terdapat bidang pekerjaan lain di sektor kerajaan yang memerlukan Pensijilan Kemahiran Malaysia.
Ahmad Zahid berkata, ini bagi membuka peluang lebih luas kepada graduan TVET yang dikeluarkan melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan awam secara keseluruhan.
Ini adalah usaha kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi serta globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir,” katanya. – Kredit Bernama








