Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan supaya pegawai perubatan lantikan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) diserap masuk dalam perkhidmatan kementerian berkenaan memandangkan khidmat mereka ini penting.
Dalam satu hantaran menerusi laman facebook, beliau yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, baru-baru ini timbul dakwaan pegawai perubatan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) mahu mogok gara-gara tidak berpuas hati berhubung isu status lantikan tetap tetapi tidak dilayan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN)
“Difahamkan mogok dirancang diadakan pada akhir Julai.
“Suatu perkembangan yang amat serius dan membimbangkan.
“Keputusan menang-menang perlu dicapai segera.
“Pada waktu kita menyokong tuntutan mereka, namun adalah diharap mogok itu tidak berlangsung.
“Kita bimbang tindakan tersebut akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara.
“Saya sendiri pernah membangkitkan perkara serupa pada 14 Jun lalu.
“Menyarankan mereka diserap memandangkan khidmat mereka sangat ‘essential’ dalam perang melawan COVID-19,” katanya.
Beliau menjelaskan, Menteri Kesihatan memberi maklum balas yang mana isu itu akan segera dibentangkan kepada Jemaah Menteri kerana situasi negara berada di tahap genting dalam mendepani pandemik Covid-19 pada ketika ini.
“Semoga penyelesaian terbaik dapat dicapai demi rakyat dan negara,” katanya.









