Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan bahawa Malaysia tidak menghantar jemaah Haji bagi Musim Haji 1442H berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah itu dilaksanakan oleh warganegara dan penduduk negara lain yang telah berada di negara tersebut.
Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu disebabkan oleh situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.
“Sebentar tadi saya menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan dengan keputusan kerajaan Arab Saudi bagi penglibatan jemaah haji daripada negara luar bagi Musim Haji 1442H itu.
“Justeru, mewakili kerajaan Malaysia, saya ingin menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H, akur serta menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah Haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, makluman yang sama telah diterima oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada rakan sejawatnya Putera Faisal Farhan Al Saud.
Malah, kenyataan rasmi oleh kerajaan Arab Saudi juga telah dikeluarkan pada 6.10 petang tadi.
Oleh yang demikian, beliau berkata, Lembaga Tabung Haji akan menguruskan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk menunaikan ibadah haji, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Arab Saudi.
Sehubungan dengan itu, Dr Zulkifli turut menzahirkan permohonan maaf kepada semua bakal jemaah Haji yang terpaksa menangguhkan ibadah Haji pada tahun ini dan menegaskan keputusan yang diambil amat berat dan sukar untuk diterima.
“Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleg kerajaan Malaysia dalam mengambil segala keputusan.
“Saya menginsafi situasi yang sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian yang amat berat.
“Pun begitu, saya tetap yakin dengan doa dan munajat kita semua yang sudah pasti pandemik Covid-19 akan berlalu pergi dari kamus kehidupan kita,” katanya.

