Mulai 1 hingga 14 Jun ini, surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terbatal dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama ‘Lockdown’.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan keputusan berkenaan surat kebenaran perlu dimohon kepada kementerian yang berkaitan.

“Jika mereka bekerja di bidang pertanian, mereka perlu memohon dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur) Datuk Seri Fadhillah Yusof akan mempengerusikan penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai pekerja swasta yang dipaksa bekerja oleh majikan walaupun kerajaan telah membuat keputusan hanya 60 peratus dibenarkan bekerja (di tempat kerja) seperti dilaporkan dalam media sosial, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membuat pemantauan.

“Tindakan paling tegas perlu diambil kepada majikan yang degil.

“Saya juga berharap pekerja membuat laporan sekiranya majikan mereka melanggar arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,”katanya.

Selain itu, beliau berkata, PKP kali ini adalah bagi mengurangkan pergerakan dan aktiviti luar yang hanya dibenarkan bila benar-benar perlu sahaja.

Katanya, dengan penutupan sektor ekonomi dan mengehadkan jumlah pekerja yang bergerak daripada 15 juta kepada 1.5 juta dan sekiranyan semua pihak patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan, ia diyakini akan melandaikan lengkuk jangkitan.

Beliau pada masa yang sama menegaskan, pihak swasta juga perlu mematuhi arahan kerajaan supaya usaha untuk mengekang Covid-19 kali ini akan berhasil.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini