Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bakal mengumumkan satu formula baharu bagi memulihkan konflik Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata, ia adalah penting bagi menyatukan kembali 11 ahli gabungan persatuan berkenaan yang mengambil tindakan keluar daripada badan induk sukan itu selepas hilang kepercayaan kepada bekas presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail yang meletak jawatan Jumaat lepas.

“Formula penyelesaian kemelut ini demi suka takraw secara keseluruhannya, kerana sebagai menteri saya adalah penjaga kepada AKta 576 (Akta Pembangunan Sukan 1997) yang memberi kuasa untuk saya lihat pembangunan sukan.

“Di sini saya bukan hendak jaga persatuan sukan tetapi pembangunan sukan.

“Kalau kemelut dalaman memberi kesan dan membantutkan pembangunan sukan itu, maka saya bertanggungjawab mencari penyelesaiannya,” katanya.

Selain itu, Reezal Merican memohon agar semua pihak bersabar buat masa ini kerana proses penyelesaian tidak boleh mengambil jalan pintas, sebaliknya ia perlu dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor undang-undang, peraturan dan perlembagaan PSM sendiri.

Dalam pada itu, beliau percaya, Pesusuhjaya Sukan (PSJ) Ibrahim Mohd Yusof dapat memainkan peranan menjadi perantara dan mencari jalan lebih praktikal bagi mengembalikan keyakinan kepada semua 11 ahli gabungan, orang ramai, Persekutuan Sepak Takraw Asia dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa.

Reezal Merican secara peribadi juga melihat jawatan Ahmad Ismail dapat membuka lembaran baharu dalam menyelesaikan konflik PSM, selain menyifatkan tindakan itu sebagai langkah yang berjiwa besar.

Terdahulu, pada 20 Mei lepas, ASTAF menyingkirkan PSM daripada menjadi ahli gabungan badan induk itu ekoran tindakan Ahmad sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat yang didakwa ‘menghina’ persatuan itu kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Feb lepas.

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini