Video tular wanita yang dilihat menengking polis di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kepayan,Kota Kinabalu baru-baru ini ditahan reman selama dua hari.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, wanita berusia 34 tahun itu direman bermula hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan kes.

Berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan dipercayai membuat provokasi kerana marah terhadap anggota polis yang ingin mengeluarkan saman bagi dua kesalahan iaitu cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.

“Laporan polis ke atas wanita ini dibuat pada pukul 8.20 malam Sabtu setelah video tersebut tular dalam media sosial.

“Kemudian, wanita ini ditahan di sebuah kondominium di Jalan Lintas pukul 11.20 pagi semalam. Semasa ditahan, wanita ini memberi kerjasama yang baik kepada anggota polis yang bertugas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, setakat ini proses siasatan sudah 80 peratus siap dan kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Seorang pegawai dan tujuh anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipanggil bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular video dalam media sosial sejak 19 Jun lalu yang memaparkan seorang wanita menengking anggota trafik di SJR Jalan Kepayan selepas dikenakan saman kerana cukai jalan tamat tempoh.

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini