Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan seorang rakyat Malaysia berusia 49 tahun yang telah menerima dos pertama vaksin pada 21 Mei lalu, adalah antara individu dalam 36 kes baharu Covid-19 yang di negara itu.
Kes dirujuk sebagai kes 63653 yang merupakan pekerja penghantaran di AST Logistics Pte.Ltd itu berkait dengan kluster pusat beli-belah JEM dan Westgate.
“Setakat ini kluster tersebut mempunyai 50 kes yang disahkan.
“Lelaki itu sering menghantar barang di Westgate,” kata kementerian dalam data lengkap yang dikeluarkan malam tadi.
Selain itu, dua wanita warga Malaysia yang lain juga turut dikaitkan dengan kluster yang sama.
Kes pertama kluster tersebut melibatkan seorang wanita Singapura berusia 53 tahun yang disahkan Covid-19 pada 7 Mei.
Manakala, tiga kes baharu yang dilaporkan pada Isnin juga melibatkan rakyat Malaysia, satu diklasifikasikan kes import dan dua lagi berkait dengan kluster penghantar makanan McDonald yang kini mencatat 10 kes yang disahkan.
Setakat tengah hari Isnin, republik ini melaporkan sebanyak 61,860 kes dengan 2,767 diklasifikasikan kes tempatan, 4,574 import dan 54,519 babitkan penghuni dari asrama.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan 30 kluster terbuka setakat ini, yang terbesar melibatkan kluster Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan 108 kes.
“Pada masa ini terdapat 244 kes yang masih dalam rawatan di hospital.
“Kebanyakan pesakit stabil atau semakin pulih, tiga dalam keadaan kritikal dirawat di unit rawatan rapi dan 15 lagi memerlukan bantuan oksigen,”katanya.

