Terkesan dengan situasi perang dan konflik di Gaza dan Tebing Barat, Artis dan juga Influencer terkenal Caprice menyertai misi kemanusiaan Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) bagi menunjukkan solidariti kepada warga Palestin.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli tiba di Mesir kelmarin untuk bergabung dengan enam belas anggota misi HM4P yang diketuai Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim merangkap Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM).
Turut menyertai misi kemanusiaan itu adalah dua wakil MERCY Malaysia, termasuk exconya, Norazam Ab Samah.
Sebaik tiba di Kaherah , Caprice terus menyertai sukarelawan misi HM4P menyampaikan bantuan kemanusiaan, termasuk pengagihan 10 kerusi roda yang disampaikan Abdul Azeez kepada wakil Hospital Palestin di Kaherah yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.
Mereka turut melawat beberapa pesakit warga Palestin yang menerima rawatan lanjut di hospital berkenaan, termasuk seorang gadis bernama Mariam berasal dari Gaza yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
Hospital Palestin di Kaherah menerima purata bulanan 10 pesakit warga Palestin dari Gaza yang mendapatkan rawatan lanjut ekoran kekangan perkhidmatan kesihatan di wilayah konflik terkepung itu.
Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda ratusan juta dolar selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

