Keputusan UMNO tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memberi kesan kepada pentabiran beberapa negeri termasuk Perak akui DAP.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu terbabit, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada tugas membantu rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Menurut beliau, keputusan berkenaan isu itu diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan terhadap situasi semasa politik negara.

“Berdasarkan pengumuman UMNO itu semalam (Selasa), memang ia memberi kesan kepada negeri-negeri seperti Perak, Kedah, Johor, Melaka dan Sabah.

“Pada waktu ini, kami mahu fokus kepada usaha membantu rakyat dalam menangani Covid-19.

“Isu politik ketika ini saya enggan ulas lanjut, namun kita serah kepada Majlis Presiden PH untuk beri ulasan selanjutnya,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan baharu di Perak, Kor Ming berkata, beliau menyerahkan keputusan itu kepada kepimpinan pusat.

Kerajaan negeri Perak dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika ini mempunyai sokongan sebanyak 34 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi, diikuti Bersatu (enam) dan Pas (tiga).

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini