KUALA LUMPUR: Menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada UMNO akan meletakkan jawatan, sekiranya Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua Ahli Parlimen UMNO juga akan menarik balik sokongan kepada kerajaan, sekiranya darurat tetap diteruskan selepas tarikh berkenaan.

Beliau bertegas, langkah itu bagi memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April lalu.

“Memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April 2021 bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, Ahli Parlimen akan menarik sokongan dan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC daripada UMNO akan meletakkan jawatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata demikian menjelang sidang khas Dewan Rakyat bermula hari ini, yang antara lain akan mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan Proklamasi Darurat dan langkah kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Ahmad Zahid menegaskan, sempena sidang Parlimen khas sehingga 2 Ogos depan, UMNO memutuskan semua Ahli Parlimen parti itu mesti menzahirkan pendirian UMNO untuk mengusulkan Parlimen mesti membahas dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.

Selain itu, katanya, pelaksanaan Darurat disifatkan gagal mengekang dan menangani penularan COVID-19, dan didakwa menjadi muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen.

“UMNO memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat bukan sekadar dibahas, tetapi ditentukan keabsahannya, sama ada diluluskan atau dibatalkan.

“Parti juga memahami implikasi Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan bahawa Ordinan Darurat akan terus berjalan selama enam bulan jika tidak dibatalkan sebagaimana Perkara 150(3), sekali gus bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 29 Oktober 2020, 25 April 2021, 16 Jun 2021 dan terbaru 7 Julai 2021.

“UMNO turut mendokong dan mentaati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan tiada keperluan Darurat diteruskan dan segala Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen, seiring Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini