Hospital medan kini sedang dibangunkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang akan diserah untuk penggunaan pesakit Covid-19 pada 4 Ogos ini.
HTAR dalam kenyataan di laman Facebook rasminya memaklumkan, projek berkenaan telah siap 35 peratus dan dijangka siap 40 peratus menjelang tengah malam pada Sabtu.
“Projek hospital medan itu telah selesai lima peratus lebih awal daripada jadual dan akan diserahkan untuk penggunaannya pada 4 Ogos ini,” katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengadakan lawatan mengejut pada jumaat malam ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR Klang.
Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi dilaporkan berkata, Dr Adham hadir bersama Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago ke HTAR antara jam 7.45 hingga 9 malam.
Sebelum itu, beliau dilaporkan berkata, Menteri Kesihatan ada memaklumkan dalam Sidang Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat bahawa beliau akan melawat HTAR bersama ahli Parlimen Klang.
“Semalam (Jumaat), beliau mengotakan janjinya untuk membawa Ahli Parlimen Klang (Charles) secara lawatan mengejut ke HTAR.
“Dalam lawatan itu, beberapa perkara turut dibincangkan termasuk usaha melancarkan pengurusan pesakit Covid-19 di sini,” katanya.

