KUALA LUMPUR - Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Menurut surat Pemberitahu Sidang Khas bertarikh 31 Julai 2021 yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko Covid-19.
“Pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Selain itu, “penangguhan ini juga susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana Kementerian Kesihatan (KKM) berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya jangkitan Covid-19,” katanya.
Dalam perkembangan lain, mantan Perdana Menteri Najib Razak memuat naik satu hantaran di Facebook miliknya mengulas kenyataan terbabit.
Beliau berkata, “Covid tiba-tiba serang dewan setelah YDP Agong titah amat dukacita sebab kerajaan PN tidak menghormati undang-undang, membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda dan menipu parlimen.
Pada waktu yang sama, beliau juga kecewa kerana tidak berpeluang untuk berucap pada sidang Dewan Khas Rakyat, Khamis lalu. Lantaran itu beliau juga kongsikan teks ucapan parlimen yang ingin disampaikannya pada hantaran yang lain.








