Kementerian Kesihatan (KKM) memohon bajet tambahan sebanyak RM1.14 bilion bagi menampung keperluan semasa membendung penularan jangkitan Covid-19 dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, permohonan dibuat daripada Kementerian Kewangan pada 7 Julai lalu.
“Berdasarkan perkembangan semasa, terdapat keperluan untuk peruntukan tambahan.
“Dalam hal ini, KKM telah memohon bajet tambahan sebanyak RM1.14 bilion daripada Kementerian Kewangan pada 7 Julai 2021.
“Ia untuk ‘reagen’, ‘consumables’, peralatan pelindungan diri (PPE), penyumberluaran pesakit ke hospital swasta, ‘outsourcing’ ujian makmal dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, beliau juga berkata, pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta lagi kepada KKM bagi tujuan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan ke hospital swasta dengan memberikan keutamaan kepada kes-kes di Lembah Klang.
“Penyumberluaran bagi kes selain daripada Covid-19 ini bertujuan meningkatkan kapasiti hospital awam bagi merawat kes-kes Covid-19,” katanya.

